MALDIVES, Isnin, 19 Mei 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), bersama sembilan agensi penguatkuasaan undang-undang dari Kanada, Hong Kong SAR, Indonesia, Macao SAR, Malaysia, Maldives, Singapura, Korea Selatan, dan Thailand, telah menjalankan operasi anti-penipuan selama dua bulan yang dikenali sebagai Operasi FRONTIER+ III dari 10 Mac hingga 7 Mei 2026. Operasi ini menyasarkan pelbagai modus operandi penipuan termasuk penipuan e-dagang, penipuan pekerjaan, penipuan pelaburan, penyamaran pegawai kerajaan, dan penyamaran media sosial.

Secara keseluruhan, operasi tersebut membawa kepada penangkapan 3,018 individu serta siasatan ke atas 7,553 individu lain yang dikaitkan dengan lebih 138,000 kes penipuan dengan kerugian dianggarkan sebanyak USD 752 juta. Hampir 102,000 akaun bank telah dibekukan, sekali gus menyita lebih USD 161 juta dana haram.

Di Negara Brunei Darussalam, PPDB telah menyiasat 193 kes penipuan melibatkan kerugian sebanyak BND 1.85 juta, serta menahan 14 individu. Jenis penipuan yang paling utama dikesan termasuklah penyamaran pegawai kerajaan, penipuan e-dagang, penyamaran media sosial, dan penipuan pinjaman.

FRONTIER+ merupakan platform kerjasama anti-penipuan rentas sempadan yang dianggotai oleh 14 agensi penguatkuasaan undang-undang. Platform ini membolehkan agensi penguatkuasaan bekerjasama secara berkesan dalam melumpuhkan sindiket penipuan di peringkat antarabangsa. Wakil PPDB telah menghadiri mesyuarat penutup serta taklimat media berhubung hasil keseluruhan operasi ini di Maldives dari 18 hingga 20 Mei 2026.

Orang ramai digesa sentiasa berwaspada semasa melakukan transaksi kewangan, terutamanya yang melibatkan permintaan pemindahan wang daripada pihak yang tidak dikenali. Sebarang maklumat yang mencurigakan boleh dilaporkan melalui Talian Bantuan Anti Penipuan (Anti-Scam Helpline) Brunei Darussalam 24 jam di talian 16993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI