BRUNEI MUARA, Jumaat, 22 Mei 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap peningkatan kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis, kakitangan bank dan pegawai agensi kerajaan melalui panggilan telefon yang tidak dikenali. Bagi tempoh Januari hingga April 2026, jumlah kerugian yang dialami mangsa penipuan telah mencecah lebih daripada BND$1.6 juta, sekali gus menunjukkan trend yang membimbangkan.
Dalam kes yang dilaporkan, mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwa mangsa mempunyai akaun atau kad bank yang mencurigakan. Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes penipuan atau pengubahan wang haram.
Mangsa turut diarahkan supaya merahsiakan perkara tersebut atas alasan ia melibatkan “siasatan sulit”, sebelum diminta menyerahkan wang tunai bagi tujuan “pengesahan” atau “pemeriksaan” siasatan. Dalam beberapa kejadian, mangsa menyerahkan wang kepada suspek di lokasi tertentu seperti kawasan tempat letak kereta.
Antara taktik yang sering digunakan oleh sindiket penipuan termasuk menyamar sebagai pegawai polis, kakitangan bank atau pegawai agensi kerajaan, menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali, menakut-nakutkan mangsa dengan dakwaan penglibatan dalam jenayah seperti penipuan atau pengubahan wang haram, mengarahkan mangsa supaya merahsiakan perbualan, serta meminta mangsa menyerahkan wang tunai, maklumat perbankan atau membuat pemindahan wang.
Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya terhadap panggilan yang mendakwa mereka terlibat dalam kes jenayah atau urusan kewangan mencurigakan. Pihak polis, bank atau agensi kerajaan tidak akan meminta wang tunai, maklumat perbankan, kata laluan atau kod OTP bagi tujuan siasatan.
Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, orang ramai disarankan untuk menamatkan panggilan dengan segera, tidak memberikan sebarang maklumat peribadi serta membuat pengesahan terus dengan pihak berkaitan melalui saluran rasmi.
Bagi sebarang nasihat, bantuan atau maklumat lanjut berkaitan penipuan dalam talian, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Bantuan Anti Penipuan (Anti-Scam Helpline) di talian 16993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
