TUTONG, Khamis, 21 Mei 2026 – Satu sesi muzakarah bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tutong telah diadakan pagi khamis di Bilik Gerakan, Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi membincangkan langkah-langkah memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan sosial masyarakat selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Muzakarah tersebut telah dipengerusikan oleh Penguasa Polis Haji Irham bin Haji Muhammad Arshad, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong. Ia menjadi platform bagi membincangkan pelaksanaan kaedah rondaan sukarela dalam kalangan penduduk kampung sebagai usaha pencegahan jenayah di kawasan masing-masing.

Turut hadir dalam muzakarah tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku wakil Pejabat Daerah Tutong, serta Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tutong.

Muzakarah ini turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama masyarakat dalam menjaga keamanan negara. Kepimpinan akar umbi memainkan peranan penting sebagai penghubung serta pelindung komuniti melalui pengenalpastian isu-isu sosial dan keselamatan di peringkat kampung.

Tumpuan turut diberikan kepada isu jenayah dan keselamatan jalan raya. Statistik jenayah serta lalu lintas telah dibentangkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang demi menjamin keselamatan bersama.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI