BRUNEI MUARA, Rabu, 20 Mei 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan bahawa orang yang dikehendaki bagi kes kematian di Kampong Junjongan telah berjaya ditemui dan ditangkap.

Orang yang dikehendaki, Bustari, telah berjaya ditangkap pada 20hb Mei 2026, jam 12:15 pagi di sebuah hotel di Limbang, Sarawak.

Kejayaan mengesan dan menahan orang yang dikehendaki ini adalah hasil bantuan maklumat daripada orang ramai yang tampil memberikan maklumat berkaitan individu tersebut. Kejayaan penangkapan ini juga adalah hasil koordinasi serta kerjasama erat di antara Unit Siasatan Khas (USK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PPDB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama serta maklumat yang diberikan, dan juga kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), atas kerjasama, bantuan dan komitmen yang diberikan dalam usaha mengesan serta menahan individu yang terlibat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI