TEMBURONG, Selasa 31 Ogos 2021 – Pengusaha syarikat pembeli besi-besi buruk dan terpakai adalah ditekankan untuk tidak berurus niaga secara sembarangan dengan individu-individu yang mencurigakan, terutama sekali pembelian barangan besi atau tembaga yang tidak pasti asalnya kerana ianya berkemungkinan diperolehi daripada kegiatan jenayah seperti curi. 

Perkara ini menarik perhatian pihak polis berikutan daripada tangkapan 2 individu warga asing dalam kejadian curi kabel telekomunikasi kepunyaan Syarikat UNN yang berlaku beberapa hari laIu di Daerah Temburong. 

Di samping itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga telah mendapati bahawa segelintir syarikat pengusaha besi-besi terpakai di negara ini dipercayai ada terlibat dalam menjalankan kegiatan menerima atau menyimpan barangan hasil daripada kegiatan-kegiatan pecah rumah, rosak barang dan curi wayar kabel. 

Oleh yang demikian, Pihak Polis ingin menegaskan kepada orang ramai serta para-para pengusaha besi buruk / terpakai bahawa adalah menjadi satu kesalahan di dalam peruntukan di bawah Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu barang siapa secara tidak jujur menerima atau menyimpan apa-apa harta curi, dengan mengetahui atau dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi, hendaklah dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 3 tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Dari itu, ditegaskan kepada pengusaha / pengeksport besi terpakai untuk sentiasa mematuhi persyaratan yang telah diberikan bagi mendapatkan permit pengeksportan bagi mengelak tindakan undang-undang dijalankan ke atas mereka.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI