BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 Jun 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), melalui Badan Kebajikan dan Sukan Cawangan C1, telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak “9-a-side” Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, Daerah Brunei dan Muara. Dalam kejohanan tersebut, Pasukan Daerah Polis Temburong ‘A’ muncul juara selepas menewaskan lawan dalam perlawanan akhir, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan serta pingat kejohanan.


Perlawanan akhir yang sengit itu ditentukan oleh jaringan tunggal yang menyebelahi Pasukan Daerah Polis Temburong ‘A’, sekali gus memastikan kejuaraan berpihak kepada pasukan tersebut. Tempat naib juara diraih oleh Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni (Team ‘B’), manakala tempat ketiga diraih oleh Pasukan Polis Marin ‘A’.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat kejohanan tersebut, Penguasa Polis (Supt.) Kasnol Bin Haji Muhammad Kincho, Pegawai Pemerintah Polis Marin merangkap Pengerusi Badan Kebajikan dan Sukan Cawangan C1, yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai serta anggota di bawah Cawangan C1.



Kejohanan ini merupakan anjuran Ahli Jawatankuasa Bahagian Sukan, Badan Kebajikan dan Sukan Cawangan C1 bagi sesi 2025–2026, bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan anggota, serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam sukan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
