BANDAR SERI BEGAWAN, AHAD, 14 Jun 2026 – Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan dua orang wanita warganegara tempatan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan di kawasan Kampung Salambigar dan Kampung Lumapas, Daerah Brunei dan Muara.
Serbuan pertama menyaksikan penahanan seorang wanita warganegara tempatan berumur 39 tahun di sebuah bilik sewa di kawasan Kampung Salambigar yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Serbuan kedua pula mengakibatkan penahanan seorang lagi wanita warganegara tempatan berumur 29 tahun di kawasan Kampung Lumapas, yang disyaki bersubahat dan turut terlibat dalam kegiatan yang sama.
Kedua-dua suspek beserta barang-barang rampasan telah dibawa ke pejabat USPPPM untuk siasatan lanjut.


PPDB menegaskan komitmennya dalam membanteras kegiatan maksiat dan jenayah moral demi menjaga ketenteraman serta kesejahteraan masyarakat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti seumpama ini digalakkan untuk menghubungi PPDB melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
