BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 12 Jun 2026 — Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah mengadakan Jerayawara Mengukuhkan Ukhuwah Pengawasan Kejiranan 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Balai Polis Muara.

Jerayawara yang diadakan selama tiga hari itu telah dihadiri oleh seramai 39 orang terdiri dari ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) di bawah tadahan Balai Polis Muara, serta penghulu, ketua-ketua kampung dan wakil-wakil organisasi termasuk Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), Hibiscus Petroluem Berhad dan Hengyi Industries Sendirian Berhad.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis penutupan jerayawara tersebut ialah Penguasa Kanan Polis Haji Mahran bin Haji Ahmad, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei-Muara. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan wakil ahli PK.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, sebelum diakhiri dengan bacaan doa penutup serta sesi bergambar ramai.

Penganjuran jerayawara ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan peserta mengenai penguatkuasaan undang-undang merentasi pelbagai agensi, di samping menyediakan platform bagi peserta untuk berkongsi pandangan dan kebimbangan mereka secara terbuka. Melalui penganjuran ini, PPDB berhasrat memperkukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kerjasama dan memperkasa peranan ahli-ahli PK dalam menyokong usaha berterusan ke arah mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI