BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 23 Sept 2021 – Berbagai usaha telah diterapkan oleh pihak kerajaan bagi menyuntik kesedaran orang ramai akan implikasi sebenar kesan daripada wabak COVID-19 di negara ini.
Saranan dan arahan yang diberigakan semestinya untuk dipatuhi dan diikuti oleh masyarakat awam secara tertib bagi membantu kerajaan menanganinya dengan lebih efektif dan berkesan dalam hala tuju memutuskan dan menamatkan penularan wabak COVID-19 ini jauh merebak di kalangan orang ramai.
Akan tetapi, amat mendukacitakan bilamana masih terdapat segelintir orang ramai yang memandang ringan dan remeh akan larangan-larangan kerajaan terhadap hambatan situasi yang dihadapi negara ketika ini.
Terkini, seramai 10 orang individu yang melibatkan 9 orang perempuan dan seorang (1) lelaki yang berumur dalam lingkungan 16 hingga 29 tahun telah ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai telah mengadakan pesta perkumpulan di sebuah rumah sewa di Kg Kiarong pada 23 September 2021 sekitar jam 1.30 pagi.
Semasa serbuan tersebut beberapa individu telah didapati melarikan diri dan pihak polis sedang berusaha menjalankan siasatan bagi menjejaki individu berkenaan.
Pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan barang tegahan iaitu sebanyak 6 botol minuman keras. Barangan bukti telah dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
Di samping itu, satu pelanggaran Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 juga telah dilaporkan di Daerah Belait melibatkan perkumpulan bermain bola sepak.
Seramai 6 lelaki warganegara asing berumur dalam lingkungan 24 hingga 36 tahun berhasil ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Kuala Belait, PPDB pada 22 September 2021 sekitar jam 5.37 petang semalam di kawasan belakang sebuah hotel penginapan di Jalan Maulana, Kuala Belait.
Kesemua individu yang ditahan segera dibawa bagi menjalani ujian saringan (Swab Test) dan seterusnya akan dijalankan siasatan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Berikutan dengan kejadian ini, ianya adalah merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab dan sekaligus mencerminkan sikap ketidakpedulian terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh Pihak Kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) amat tegas dalam menjalankan tindakan dan tidak akan berkompromi dalam soal pelanggaran undang-undang dan akta yang telah dikuatkuasakan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
