BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 20 Julai 2020 – Unit Pendakwaan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan seorang warga tempatan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan (BSB) kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Kesalahan Lalu Lintas Penggal 68 iaitu memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh alkohol.
Tertuduh bernama Muhd Hamir bin Abd Hamid berumur 63 tahun telah terlibat dengan kemalangan yang melibatkan dua (2) buah kenderaan yang berlaku di kawasan Jalan Mulaut.
Hasil daripada siasatan yang dijalankan telah mendapati bahawa tertuduh tidak dapat mengendalikan kenderaan yang dipandunya disebabkan tertuduh berada dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.
Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah atas kesalahan tersebut berdasarkan pembuktian melalui kandungan alkohol dalam sampel darah tertuduh yang melebihi had.
Pihak Mahkamah dengan itu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $2,000. Jika gagal membayar denda hukuman pemenjaraan selama 2 bulan. Mahkamah memberi tempoh sehingga hujung bulan November 2020 bagi menjelaskan denda.
Pihak Mahkamah juga memerintahkan tertuduh digantung dari memegang atau mendapatkan sebarang lesen kelas memandu selama 3 tahun bermula pada tarikh 20 Julai 2020.
PPDB dengan tegas ingin mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali pemandu-pemandu kenderaan untuk menghindari dari melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan Akta Lalulintas seperti memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya. Implikasi daripada perbuatan tersebut boleh sahaja memberi kesan kepada kecederaan diri, anggota badan, nyawa bahkan melibatkan kehilangan orang tersayang.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Inspektor Hayati bte Tassim daripada Unit Pendakwaan Polis Bandar Seri Begawan dihadapan Hakim Majistret Marzuqi bin Sabtu.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
