LABI, Khamis 14 Mei 2020 – Dua orang lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti pemburuan haram dengan menggunakan senjata api di kawasan perhutanan Mukim Liang telah ditahan di dua lokasi berasingan pada 6 Mei 2020 yang lalu. 

Suspek pertama seorang warga asing bernama Joenny Tati berumur 36 tahun bekerja sebagai tukang kayu. Manakala suspek kedua merupakan seorang penduduk tetap bernama Ricky Anak Kalong berumur 34 tahun bekerja sebagai pemandu kilang papan. 

Kedua-dua suspek ditahan dalam satu rondaan dan pemeriksaan pencegahan jenayah oleh keanggotaan Balai Polis Labi, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan kilang papan yang beroperasi di kawasan Mukim Bukit Sawat berikutan satu aduan yang memaparkan beberapa gambar kelibat dua orang lelaki membawa senjata api terakam pada kamera perangkap yang terpasang di perhutanan kawasan Labi pada 14 April 2020. 

Adapun kamera perangkap tersebut dipasang adalah untuk merakam gambar haiwan bagi tujuan kajian Pihak Universiti Brunei Darussalam dan perkara ini sudah pun mendapat permit dari Jabatan Perhutanan. 

Menurut daripada keterangan yang diperolehi daripada kedua-dua suspek, mereka telah mengakui ada memiliki senjata api buatan sendiri dan menggunakannya bagi tujuan memburu haiwan. 

Dalam kejadian tersebut, suspek pertama kemudiannya menunjukkan tempat penyimpanan senjata api miliknya yang disembunyikan di dalam hutan belakang rumah pekerja kilang dan pihak polis telah menemukan satu bekas guni yang dipercayai mengandungi senjata api dan peralatannya.  

Dalam pada itu, suspek kedua menyatakan telah membakar senjata api buatannya di tempat bekas pemanggang makanan di kawasan belakang rumah pekerja kilang. Walau bagaimanapun, pihak polis telah berhasil menemukan lagi senjata yang telah disembunyikan di kawasan belakang rumah pekerja berkenaan. 

Kesemua senjata api dan beberapa butir peluru buatan sendiri serta peralatannya telah dirampas bagi dijadikan bahan bukti. 

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan bagi dibacakan kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen di bawah Seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58. 

Setelah perbicaraan kes dijalankan, Pihak Mahkamah  telah memerintahkan keduadua suspek dilepaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak $10,000 beserta 2 orang penjamin tempatan. Namun, memandangkan tidak ada penjamin maka kedua tertuduh dibawa ke Penjara Maraburong bagi menantikan susulan sebutan kes yang selanjutnya. 

PPDB menegaskan kepada orang ramai adalah menjadi satu kesalahan yang berat di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam bagi mana-mana individu memiliki, menyimpan atau mengawal apa-apa senjata api atau peluru (termasuk kelongsong atau mana-mana bahagian daripadanya) dan sesiapa yang bersubahat dengan individu yang memiliki senjata api mahu pun peluru secara haram juga akan dikenakan hukuman yang sama. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI