GADONG, Selasa 31 Mac 2020 –  Dengan mengambilkira situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini. Pihak kerajaan telah berusaha dengan tekun bagi memastikan penularan wabak tersebut dikawal dengan sebaiknya.  

Pihak kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga telah mengeluarkan arahan bahawa bermula pada tarikh 19 Mac 2020, kesemua kompleks dan fasiliti sukan yang tertutup di seluruh negara termasuk gym dan bowling alley, di samping padang golf akan mula ditutup sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.  

Arahan tersebut telah diberigakan dengan sebaiknya kepada seluruh penduduk serta pemilik-pemilik fasiliti di negara ini, akan tetapi arahan tersebut tidak diendahkan dan diabaikan sepertimana laporan yang diterima oleh Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 26 Mac 2020 mengenai sebuah gym di kawasan Batu Bersurat, Gadong masih lagi beroperasi dan menerima para-para pelanggan yang ingin menggunakan fasiliti di tempat berkenaan. 

Hasil siasatan pihak polis, suspek merupakan pemilik gym bernama Harun bin Haji Ahmad berumur 56 tahun. Menurut keterangan suspek, beliau telah membenarkan pelanggan untuk menggunakan gym tersebut secara terhad dan atas permintaan pelanggan walaupun suspek mengetahui mengenai larangan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan. 

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan bagi tuduhan di bawah Seksyen 62A (2) Perintah Akta Penyakit Berjangkit Pindaan 2020 dan hukuman di bawah Seksyen 69 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 iaitu denda sebanyak $5,500 kepada tertuduh dan jika gagal membayar sebelum 30 April 2020 akan dipenjara selama satu bulan. 

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang awam dan memohon kerjasama kesemua pihak agar akur dan patuh mana-mana arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi sama-sama membantu dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​