BRUNEI MUARA, Isnin 30 Mac 2020 – Bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini, pihak kerajaan telah mengeluarkan arahan bagi premis-premis makanan tidak dibenarkan untuk menyajikan makanan dan hanya dibenarkan untuk menyediakan makanan untuk dibawa pulang sahaja (takeaway) yang berkuatkuasa bermula 19 Mac 2020 sehingga ke suatu masa yang akan dimaklumkan kemudian.
Namun demikian, masih ada premis makanan yang ingkar mematuhi arahan pihak kerajaan kerana didapati menghidangkan perkhidmatan dine-in kepada pelanggan di kawasan Mukim Kilanas pada 22 Mac 2020.

Bertindak atas maklumat yang disalurkan, keanggotaan Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan terhadap restoran terbabit. Pemilik serta pekerja restoran diarah ke balai bagi menjalani siasatan lanjut.
Suspek pertama seorang lelaki penduduk tetap bernama Foong Swee Chung berumur 51 tahun dan suspek kedua merupakan seorang perempuan warganegara Filipina bernama Jesussa Joy Balquin De Guzman berumur 23 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 62A (2) Perintah Akta Penyakit Berjangkit Pindaan 2020.
Tertuduh pertama telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda sebanyak $5,000 dan tertuduh telah pun membayar denda tersebut.
Manakala tertuduh kedua akan menjalani sebutan kes selanjutnya pada tarikh 6 April 2020.
Pasukan Polis Diraja Brunei tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan pihak kerajaan dalam usaha negara membendung sepenuhnya penularan wabak COVID-19.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
