BERAKAS, Khamis 5 Mac 2020 – Seorang lelaki berumur 37 tahun, Zulkifli bin Ahmad warganegara Malaysia telah ditahan oleh Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat melakukan kekerasan secara jenayah dengan mengacukan sebilah pisau ke bahagian leher seorang mangsa di dalam sebuah rumah di kawasan Kg Lambak Kiri, Daerah Brunei Muara. 

Siasatan awal pihak polis mendapati, insiden tersebut berlaku pada 4 Mac 2020 di mana suspek telah datang ke rumah mangsa bertujuan untuk menemuinya. Semasa pertemuan tersebut telah berlaku perselisihan faham di antara mangsa hingga membuatkan suspek bertindak melulu dan mengamuk seraya mengacukan sebilah pisau ke leher mangsa. 

Kejadian tersebut berjaya diredakan dengan kehadiran 3 orang awam yang sedang berada di luar kawasan rumah ketika itu. Suspek berjaya ditahan dan dikawal dengan sebaiknya bagi mengelak dari mencederakan dirinya ataupun orang lain sementara menunggu kehadiran pihak polis. 

Hasil siasatan, punca kejadian adalah disebabkan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana tidak membalas pesanan ringkas suspek dan disebabkan mangsa tidak setuju dijodohkan dengan suspek. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Menakutkan Secara Jenayah. Pada 5 Mac 2020, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan dan telah dijatuhkan hukuman iaitu pemenjaraan selama 11 bulan bermulai 5 Mac 2020 di Penjara Maraburong. 

Dalam pada itu, PPDB mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai untuk tidak bertindak melulu serta mengambil tindakan mengikut perasaan dan emosi tanpa memikirkan akibat dan keburukannya. Oleh itu, disarankan kepada masyarakat awam untuk tidak terlibat dan terjerumus dengan sebarang kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang kerana akibatnya akan merosakkan kebahagiaan, masa depan individu itu sendiri, keluarga dan generasi di masa yang akan datang. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​