BRUNEI-MUARA, SELASA, 17 NOVEMBER 2026 – Balai Polis Kampong Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan empat orang lelaki berumur antara 36 hingga 46 tahun, terdiri daripada tiga orang warga tempatan dan seorang warganegara asing, yang dipercayai terlibat dalam satu kes kecurian di sebuah rumah penginapan pekerja tapak pembinaan di Kampong Lumapas. Kejadian tersebut melibatkan enam orang pekerja yang berada di tempat penginapan berkenaan.

Siasatan awal mendapati bahawa suspek dipercayai telah datang ke tempat penginapan pekerja di sebuah tapak pembinaan dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang. Suspek kemudiannya dipercayai menggunakan alasan untuk menjalankan pemeriksaan sebelum mengambil barangan peribadi milik pekerja syarikat berkenaan. Barangan yang dilaporkan diambil termasuk tujuh telefon bimbit yang dianggarkan bernilai BND$1,329 serta wang tunai berjumlah BND$3,615.

Hasil siasatan pihak polis, keempat-empat suspek berjaya ditahan dalam tempoh seminggu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 419 atas kesalahan menyamar serta Seksyen 379 atas kesalahan mencuri, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.

Sehubungan itu, PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang. Orang ramai dinasihatkan supaya meminta pengenalan diri rasmi dan membuat pengesahan identiti sekiranya berhadapan dengan individu yang mengaku menjalankan tugas penguatkuasaan. Sebarang kegiatan yang mencurigakan hendaklah dilaporkan dengan segera kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI