BRUNEI-MUARA, SELASA, 17 NOVEMBER 2026 – Dua orang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Program Keselamatan Maritim Awam Kali Keempat (4th Civil Maritime Security Program) yang berlangsung di Canberra dan Sydney, Australia, dari 6 Oktober hingga 13 November 2026. Ini merupakan penyertaan pertama negara dalam program berkenaan, yang turut disertai wakil agensi keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang dari Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Program ini menjadi platform bagi negara peserta untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman operasi, di samping memperkukuh dialog serta kerjasama serantau dan pelbagai hala bagi memelihara keamanan dan keselamatan domain maritim.

Para peserta didedahkan kepada pendekatan Australia dalam melindungi sempadan maritimnya daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Usaha ini diselaraskan oleh Maritime Border Command, sebuah pasukan petugas pelbagai agensi yang menggabungkan pegawai dan aset Australian Border Force dan Australian Defence Force. Program ini juga mengetengahkan Strategi Keselamatan Maritim Awam Kerajaan Australia yang berteraskan empat pendekatan utama, iaitu memahami, mempengaruhi, mencegah dan bertindak balas.

Peserta turut didedahkan kepada cabaran dalam melindungi kepentingan negara, warisan, infrastruktur kritikal, sumber asli dan alam sekitar marin. Aspek ini juga penting bagi Negara Brunei Darussalam dalam menyokong sektor ekonomi, perdagangan dan pelancongan. Walaupun pendekatan operasi serta pengaturan pemerintahan dan kawalan kedua-dua negara berbeza, matlamatnya sama, iaitu mencegah jenayah maritim, melindungi kepentingan negara serta memelihara undang-undang dan ketenteraman di perairan masing-masing.

Penyertaan ini membolehkan PPDB meluaskan pemahaman mengenai kerangka keselamatan maritim awam Australia serta meneliti amalan terbaik yang boleh dipertimbangkan mengikut konteks dan keperluan negara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI