BRUNEI-MUARA, KHAMIS, 19 NOVEMBER 2026 – Daerah Polis Brunei-Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah merungkai lapan kes kecurian dan pencerobohan di beberapa premis sekolah, institusi pengajian tinggi dan premis perniagaan di Daerah Brunei-Muara dengan penahanan tiga orang suspek warga tempatan.

Premis yang terlibat ialah Sekolah Menengah Rimba 1, Sekolah Menengah Rimba, Kantin Sekolah Rendah Rimba 1, Sekolah Rendah Dato Othman Lambak Kiri, Sekolah Rendah Tentera Laut, Coffee Up dan UBD Central Store di Universiti Brunei Darussalam (UBD), serta sebuah gerai di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Lambak Kiri.

Siasatan mendapati suspek dipercayai memasuki premis melalui tingkap atau pagar belakang dan merosakkan pintu serta kunci ketika premis tidak berpenghuni. Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk komputer riba, projektor, tablet, kamera litar tertutup, tong gas, peralatan elektronik dan wang tunai.

Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas pertuduhan di bawah Seksyen 379 (mencuri), Seksyen 427 (merosak barang) dan Seksyen 447 (menceroboh), di bawah Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).

Pihak sekolah, institusi pendidikan dan pengusaha premis perniagaan dinasihatkan agar memastikan semua pintu, tingkap dan pagar dikunci selepas waktu operasi, menyimpan barangan berharga di tempat selamat serta memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi. Sebarang kegiatan yang mencurigakan hendaklah dilaporkan segera kepada pihak polis melalui talian kecemasan 993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI