GADONG, Khamis 25 Ogos 2022 – Seramai 141 pelatih rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1 Tahun 2021 yang menjalani latihan asas kepolisan selama 9 bulan berakhir dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada pagi 25 Ogos 2022.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada rekrut-rekrut terbaik ialah Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Setiausaha Tetap Urustadbir Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.
Pelatih rekrut 6972 Zulfadhli telah dipilih sebagai Rekrut Terbaik Akademik dan juga Latihan Luar.
Turut hadir, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, para pengarah dan timbalan pengarah, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai kanan serta ahli-ahli keluarga para pelatih rekrut yang diraikan.
Kemuncak upacara tersebut diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa gerak perlahan dan cepat serta mara ke hadapan untuk diperhati semula.
Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.
Aturcara seterusnya di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis yang mana tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada pelatih-pelatih rekrut yang berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai bersama para bekas rekrut yang diraikan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
