BRUNEI-MUARA, SABTU, 25 JULAI 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput untuk menyampaikan taklimat bertajuk “Penipuan dalam Talian” bagi meningkatkan kesedaran mengenai ancaman penipuan digital dan memperkukuhkan literasi keselamatan siber dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dan dihadiri oleh tetamu kehormat, Yang Mulia Pengiran Hajah Normaswati binti Pengiran Anak Haji Mashor, Pemangku Jurukira Agung, serta Yang Mulia Dayang Hajah Salawati binti Haji Puasa, Pemangku Timbalan Jurukira Agung, bersama pegawi-pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Peserta didedahkan mengenai taktik yang sering digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian, termasuk manipulasi psikologi dan rekayasa sosial (social engineering) bagi menimbulkan rasa panik dalam kalangan mangsa, serta penyamaran identiti melalui akaun palsu yang menyerupai agensi kerajaan atau individu yang dikenali.



Langkah pencegahan turut dikongsikan, termasuk mengamalkan Dasar Sifar Urus Niaga Kewangan iaitu tidak melakukan transaksi atau berkongsi maklumat perbankan seperti kod OTP melalui media sosial atau panggilan yang meragukan. Orang ramai diingatkan bahawa Pusat Anti-Penipuan tidak mengendalikan urusan rasmi atau mempunyai akaun di mana-mana platform media sosial.
Orang ramai disaran mengamalkan prinsip “Skeptikal Secara Sihat” (Healthy Skepticism) dengan sentiasa berwaspada terhadap panggilan atau mesej yang mencurigakan, tidak mengikut arahan pihak yang tidak dikenali, serta membuat pengesahan melalui saluran rasmi. Sebarang kejadian penipuan boleh dilaporkan kepada Talian Bantu Anti-Penipuan 16993.
Menerusi taklimat ini, kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan dalam talian diharap terus dipertingkatkan bagi melindungi aset kewangan dan maklumat peribadi daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
