BRUNEI MUARA, Khamis, 30 Julai 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan taklimat bertajuk Penipuan dalam Talian sempena Program Y-Lite 2026 yang berlangsung pada 28 Julai 2026 lalu di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong. Taklimat tersebut disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dan dihadiri seramai 45 orang peserta belia berumur antara 18 hingga 30 tahun.

Para peserta didedahkan mengenai modus operandi sindiket penipuan dalam talian, termasuk taktik manipulasi psikologi bagi menimbulkan rasa cemas dan panik dalam kalangan mangsa, serta penyamaran identiti dengan meniru akaun rasmi agensi penguatkuasa, jabatan kerajaan atau individu yang dikenali bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.

Orang ramai diingatkan agar tidak memindahkan wang atau berkongsi maklumat sulit seperti kod OTP kepada mana-mana pihak, memandangkan tiada agensi kerajaan yang menggunakan media sosial bagi mengendalikan urusan rasmi atau menjalankan sebarang transaksi. Sebarang panggilan daripada individu yang tidak dikenali hendaklah disahkan melalui talian rasmi agensi berkaitan, dan sebarang kejadian atau percubaan penipuan hendaklah segera dilaporkan kepada Talian Bantu Anti-Penipuan di talian 16993.

Penyampaian taklimat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPDB memperkukuh kesedaran dan literasi keselamatan siber dalam kalangan belia, agar lebih berdaya tahan terhadap ancaman penipuan dalam talian.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI