TUTONG, Isnin 11 Mei 2026 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran serta inisiatif membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyampaikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan hotel bertempat di The Lanes Hotel, Tutong.

Objektif utama taklimat tersebut diadakan adalah untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran para peserta mengenai kaedah mengenal pasti mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang di negara ini. Pihak penguatkuasa dan agensi barisan hadapan disarankan untuk sentiasa berwaspada serta mengenal pasti identiti tetamu yang berkemungkinan terjebak dan dieksploitasi sebagai mangsa pemerdagangan manusia.
Kerjasama daripada pihak pengurusan dan kakitangan hotel amat diperlukan dalam memainkan peranan penting bagi membantu menangani isu pemerdagangan manusia, seterusnya sama-sama membantu PPDB dalam usaha memerangi jenayah tersebut.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
