BRUNEI-MUARA, ISNIN, 13 APRIL 2026 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan memperkukuhkan inisiatif membenteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan taklimat jerayawara mengenai jenayah pemerdagangan orang (trafficking in persons, TIP) kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di The Capital Residence Suite, Kampung Berangan, Bandar Seri Begawan.

Objektif utama taklimat ini adalah untuk mendidik serta memberi kesedaran dalam kalangan peserta yang hadir tentang kaedah-kaedah mengenal pasti potensi mangsa jenayah pemerdagangan orang di negara ini. Pihak penguatkuasa dan agensi barisan hadapan, khususnya kakitangan hotel, disarankan untuk sentiasa berwaspada dan proaktif dalam mengenal pasti identiti tetamu yang berkemungkinan terperangkap dan dieksploitasi sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Kerjasama erat daripada kakitangan hotel adalah amat penting dalam memainkan peranan untuk bersama-sama memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan membantu Pasukan Polis Diraja Brunei dalam usaha ini.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI