GADONG, Sabtu, 25 April 2026 –Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan taklimat mengenai penipuan dalam talian kepada kakitangan Baiduri Bank di Ibu Pejabat Baiduri Bank, One Riverside, Gadong, pada petang Sabtu.
Taklimat bertajuk “Penipuan Dalam Talian” itu disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dan dihadiri oleh Penguasa Kanan Polis Haji Mohamad Khairul Amilin bin Haji Idris, Ketua BSJS, bersama Penguasa Polis Gina See Yok Gan, Penolong Ketua BSJS, serta Mr. Jonathan Lim, Head of Group Risk Baiduri Bank, dan seramai 51 orang kakitangan bank.


Melalui taklimat ini, kakitangan bank diseru untuk sentiasa mempertingkatkan kewaspadaan dan mematuhi prosedur keselamatan dalaman dalam mengendalikan urusan kewangan dan maklumat pelanggan, termasuk peka terhadap percubaan pencerobohan sistem, e-mel palsu (phishing) serta pembuatan transaksi yang mencurigakan.
PPDB menekankan bahawa kerjasama berterusan antara institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan adalah penting bagi melindungi sistem perbankan dan kepentingan pelanggan daripada ancaman jenayah siber. Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
