BANDAR SERI BEGAWAN, AHAD, 8 JUN 2026 — Pada Sabtu, 6 Jun lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput menyampaikan taklimat bertajuk “Penipuan dalam Talian” dalam dua program yang berlainan bagi memperkukuhkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman jenayah siber.

Pada waktu pagi, taklimat telah disampaikan dalam program “Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Brunei-Muara” yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas. Seramai 49 orang belia yang mewakili institusi-institusi pengajian tinggi, mukim dan kampung serta persatuan-persatuan belia turut hadir dalam program tersebut.

Sesi pada waktu petang pula diadakan di Institut Perkhidmatan Awam, sebagai sebahagian daripada program “Induksi Perkhidmatan Awam”, dengan kehadiran seramai 182 orang pegawai dan kakitangan warga perkhidmatan awam.

Kedua-dua taklimat telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, yang menekankan ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa serta kepentingan berwaspada apabila menerima sebarang maklumat yang meragukan. Orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan penipuan dalam talian digalakkan menghubungi Talian Bantu ‘Anti-Scam Helpline’ di talian 16993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI