BRUNEI MUARA, Rabu 6 Julai 2022 – Seorang lelaki warganegara tempatan maut setelah terlibat dengan satu insiden kemalangan jalanraya yang berlaku di kawasan Kg Mulaut, Daerah Brunei Muara, semalam. 

Pihak Polis menerima panggilan kecemasan tersebut pada 5 Julai 2022 sekitar jam 10.30 malam memaklumkan mengenai satu kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan juga sebuah kenderaan. Sejurus maklumat diterima, Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 

Hasil daripada siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa yang maut merupakan seorang warganegara tempatan berumur 23 tahun yang sebelumnya ada menunggang sebuah motosikal lalu dipercayai telah bertembung dengan sebuah kenderaan yang hendak memasuki persimpangan jalan. 

Penunggang motosikal (mangsa yang maut) didapati terbaring tidak sedarkan diri di tempat kejadian dan telah disahkan meninggal dunia oleh ahli paramedik bertugas. 

Manakala pemandu kenderaan telah dibawa ke Rumah Sakit RIPAS bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan lanjut. 

Pada ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian sebenar. P

asukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada para pengguna jalanraya agar sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalanraya dan kawasan persekitaran. 

Di samping itu, usaha akan sentiasa dikerah bagi memastikan kesedaran sentiasa dipupuk kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga keselamatan semasa pemanduan bagi mengelak daripada kecuaian yang berpunca daripada pemandu sendiri.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI