TEMBURONG, Jumaat 15 April 2022 – Sebanyak 11 bungkusan dan kotak mengandungi bunga api dan mercun dengan pelbagai jenis telah dirampas oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hasil daripada rondaan pemantauan bertempat di kawasan Kg Belais, Daerah Temburong.
Insiden berkenaan yang berlaku pada 15 April 2022 itu, turut menahan seorang lelaki tempatan (suspek) berumur 40 tahun yang merupakan seorang anggota beruniform dipercayai terlibat dengan kejadian tersebut.
Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemukan sejumlah bungkusan kotak-kotak mencurigakan dipercayai berisi barangan mercun tersimpan di bahagian belakang tempat duduk penumpang dan bonet kenderaan suspek.
Suspek beserta kenderaan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut.
Hasil daripada pemeriksaan telah mendapati 6 jenis mercun pelbagai jenis;
• Happy Boom Glow Of Sunset – 160 Set x 100.
• Colour Flower V026 – 100 Set x 20.
• Mini Cicciolo – 60 Set x 60.
• Assorted Celebration Cakes Repeater – 24 Set x 36.
• Happy Boom Pili Cracker – 18 paket x 100.
• Happy Boom Flower Silver Cracking Rain – 72 Set x 12.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Senjata Api dan Bahan Letupan penggal 58.
Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan akan larangan tersebut kerana ianya menjurus kepada kemaslahatan orang awam kerana jika ianya diingkari maka boleh mengundang bahaya kepada bukan sahaja mereka yang bermain tetapi juga kepada orang lain seperti kecederaan kepada tubuh badan, kerosakan kepada harta benda dan kebakaran.
Oleh itu, diingatkan dan ditekankan kepada orang ramai sepertimana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan.
Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan.
Manakala bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000.
Sementara mengikut Seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam, atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
