GADONG, Isnin 31 Okt 2022 – Bahagian Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Societies – ROS), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan satu seminar urustadbir pertubuhan yang membawa tema “Meningkatkan Kewaspadaan dan Kapasiti Pertubuhan dari Disalahguna untuk Pembiayaan Pengganas”. Seminar ini telah berlangsung pada 31 Oktober 2022 bertempat di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei, Jalan Tungku Gadong.
Seminar tersebut dibahagi kepada 2 sesi penerangan dan telah dihadiri seramai 41 pertubuhan yang telah berdaftar di bawah ROS iaitu bagi sesi pagi (pertama) sebanyak 22 pertubuhan dan sesi kedua iaitu 19 pertubuhan lagi dikendalikan pada sesi petang.
Seminar ini telah mengemukakan panel-panel penyampai yang terdiri daripada pegawai-pegawai daripada ROS PPDB, Unit Perisikan Kewangan (UPK), Brunei Darussalam Central bank (BDCB) yang diundang khas sebagai pembentang jemputan.
Dua taklimat telah dibentangkan semasa seminar berkenaan, di mana tajuk pertama ialah “Organisasi Berbentuk Bukan Keuntungan (Non-Profit Organizations – NPO) dan Risiko Pembiayaan Pengganasan” yang disampaikan oleh UPK BDCB, manakala taklimat kedua bertajuk “Urustadbir dan Tanggungjawab dalam Pengurusan Persatuan” telah disampaikan oleh pegawai daripada ROS PPDB.
Selepas penyampaian taklimat, kesemua pewakilan perasatuan yang menghadiri seminar diberi peluang dan dipelawa untuk mengajukan sebarang persoalan kepada ahli-ahli panel mengenai topik yang dibentangkan.
Adapun objektif seminar ini adalah untuk memberi kesedaran mengenai pendedahan sektor Pertubuhan yang berbentuk NPO kepada risiko pembiayaan pengganasan di samping mengukuhkan rangkaian dan kerjasama antara sektor pertubuhan dengan pihak berkuasa yang berkenaan.
Selain itu, bagi mencapai sasaran objektif ini adalah penting bagi semua pertubuhan untuk diberikan pencerahan maklumat dan pengetahuan yang tepat serta jelas agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sebarang ancaman yang mendatang.
Turut ditekankan adalah bagi setiap pertubuhan mengenai tanggungjawab mereka yang termaktub di bawah Akta Pertubuhan, penggal 203, untuk mengamalkan urustadbir yang teratur dan lengkap sebagai langkah perlindungan daripada risiko disalahguna.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
