BRUNEI MUARA, Jumaat 19 Nov 2021 – Sejumlah 1050 katon rokok ditemui hasil daripada rondaan keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di kawasan tempat letak kereta Berambang, Kampung Menunggol pada 18 November 2021 sekitar jam 8.55 malam. 

Insiden tersebut terbongkar apabila keanggotaan peronda bertugas menemukan sebuah kenderaan yang mencurigakan, tanpa ada sebarang nombor plat pendaftaran kenderaan. Kenderaan tersebut kemudian diperiksa dan kelihatan dipenuhi dengan bungkusan kotak-kotak besar dipercayai barangan tegahan. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera dihubungi dan telah mengaktifkan keanggotaan Balai Polis Kg Ayer untuk segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 

Kesemua barang-barang tegahan dibawa oleh Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi peralihan siasatan dan tindakan seterusnya. 

PPDB bersama agensi penguatkuasa lain akan sentiasa berusaha dan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan di kawasan kawalan sungai atau darat bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI