BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 16 Okt 2022 – Seorang individu ditahan oleh pihak agensi penguatkuasa undang-undang di kawasan Kampung Sungai Pandan A, Daerah Brunei Muara pada 15 Oktober 2022 sekitar jam 11.30 malam semalam kerana dipercayai telah memiliki barang-barang tegahan. 

Insiden penahanan adalah hasil daripada operasi sepadu yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kg Ayer, Balai Polis Bandar Seri Begawan, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Marin, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN). 

Semasa operasi tersebut, seorang lelaki warganegara tempatan berumur 50 tahun telah ditahan kerana memiliki 4 botol dan 10 tin minuman keras serta 10 paket rokok pelbagai jenama. 

Suspek dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan lanjut di bawah bab 146 perintah Eksais 2006. 

Oleh yang demikian, PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi tujuan pembenterasan kegiatan-kegiatan jenayah terutama sekali barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara seludup. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan sedemikian agar dapat berkongsi sama dengan menyalurkan terus melalui talian kecemasan polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​