BRUNEI MUARA, Ahad 19 Dis 2021 – Dua orang suspek lelaki dalam pencarian pihak polis dipercayai rakan subahat kepada kegiatan curi bersiri sebelum ini telah berjaya diberkas di sebuah rumah sewa, kawasan Kg Panchur Murai, Daerah Brunei Muara pada 13 Disember 2021 yang lalu. 

Kedua-dua suspek adalah lelaki warganegara tempatan berumur 33 dan 39 tahun serta tidak mempunyai sebarang pekerjaan. 

Penahanan kedua-dua suspek adalah hasil daripada kolaborasi tindakan daripada Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah bersama keanggotaan detekfif Balai Polis Limau Manis dan Sengkurong, Daerah Polis Brunei Muara serta bantuan risikan pemantauan daripada Jabatan Perisikan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Hasil daripada siasatan melalui penahanan suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes serta penemuan sejumlah barangan rampasan dipercayai berpunca daripada barangan curi. 

Kedua suspek juga telah dilanjutkan dalam tahan reman sehingga 23 Disember 2021 bagi memberi ruang pihak penyiasat mendapatkan lagi maklumat lanjut terhadap kegiatan-kegiatan curi sebelum ini dan juga mendapatkan kembali barangan yang masih dalam pencarian. 

PPDB akan sentiasa berusaha dalam menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah-penjenayah yang berhasrat untuk mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan di Negara Brunei Darussalam. 

Sokongan masyarakat adalah diharapkan agar sentiasa berterusan memberikan kerjasama dalam kepercayaan serta perkongsian maklumat bagi memastikan negara ini bebas daripada segala bentuk aktiviti negatif dan gejala-gejala jenayah. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI