BRUNEI MUARA, Ahad, 31 Mei 2026 – Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menumpaskan satu kegiatan perjudian yang dipercayai melibatkan permainan “Pai Gou” dan “Lami” di sebuah rumah di Kampung Sungai Tilong.
Operasi tersebut telah dijalankan kira-kira jam 10.30 malam semalam dan diketuai oleh Pemangku Ketua USPPPM, JSJ, bersama beberapa orang anggota USPPPM, JSJ. Hasil operasi berkenaan, seramai 34 orang suspek telah ditahan, melibatkan 18 lelaki dan 16 wanita berusia antara 32 hingga 84 tahun. Suspek terdiri daripada warganegara tempatan dan warga asing berbangsa Melayu dan Cina.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah wang tunai berjumlah BND43,192.77 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian berkenaan. Kesemua suspek bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke USPPPM, JSJ bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.



Kes ini akan disiasat di bawah Akta Rumah-Rumah Perjudian Terbuka Penggal 28 (Common Gaming Houses Act, Chapter 28),. Di bawah akta tersebut, mana-mana individu yang menganjurkan, mengendalikan atau didapati berada di premis yang digunakan bagi tujuan perjudian boleh dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan.
PPDB akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dalam membanteras sebarang aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang demi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. Orang ramai juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
