BRUNEI-MUARA, JUMAAT, 17 JULAI 2026 – Susulan daripada  tangkapan tujuh warganegara tempatan pada awal Jun lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel, pihak Polis sekali lagi berjaya menahan beberapa individu lain berhubung kes-kes kecurian kabel yang berasingan.

Pada akhir Jun 2026, Daerah Polis Brunei-Muara telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing berumur 24 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun  kerana disyaki mencuri kabel dan membeli dipercayai hasil kecurian.

Pada bulan Julai 2026, Daerah Polis Brunei-Muara juga telah menahan lima lelaki tempatan berusia diantara 23 hingga 47 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pencurian kabel dan kompressor aircon di kawasan Kampong Lambak Kanan. Pada waktu yang sama, Daerah Polis Belait telah menahan dua lelaki tempatan berumur 27 dan 36 tahun berhubung dengan kegiatan curi kabel di kawasan Kampong Panaga.

Kes-kes tersebut sedang disiasat dibawah seksyen 379 dan 427B, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 atas kesalahan mencuri dan merosakkan barang yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai.

Pihak Polis ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 993.

Syarikat-syarikat kitar semula dan besi buruk hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera sebarang penemuan atau transaksi yang mencurigakan, dan untuk tidak menerima barang – barang yang nencurigakan. Tindakan sewajarnya akan diambil keatas syarikat-syarikat yang didapati menerima barang curi tanpa mengambil langkah-langkah yang berpatutan.

Pihak Polis turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang menerima barang curi boleh didakwa dibawah seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak melebihi tiga tahun, denda atau kedua-duanya dan jika barang curi tersebut terlibat dalam kerosakan kepada infrastruktur awam yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai, maka penerima tersebut boleh dikenakan hukuman pemenjaraan yang boleh memanjang ke sepuluh tahun, denda atau kedua-duanya.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI