GADONG, Khamis 28 Julai 2022 – Seramai 167 orang pegawai dan anggota pangkat rendah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima Pingat Kerja Lama Polis (P.K.L.P) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Gadong hari ini. 

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pemangku Pesuruhjaya Polis PPDB. 

Turut hadir pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB serta para penerima-penerima pingat. 

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar dan kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian pingat-pingat kepada para penerima yang disampaikan oleh tetamu kehormat. 

Penganugerahan pingat berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang telah berkhidmat selama 20 tahun. 

Di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, pengiktirafan ini juga dapat meningkatkan dan menyuntik motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti pada kerajaan dan juga negara.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI