GADONG, KHAMIS, 30 JULAI 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Australian Federal Police (AFP) yang berlangsung di Bilik Persidangan Putera Negara, Mes Pegawai PPDB.

Delegasi AFP diketuai oleh Deputy Commissioner Lesa Gale, Global Operations, dan disertai oleh Commander Craig Palmer, Asia Tenggara; Detective Superintendent Melinda Adam, Senior Officer bagi Singapura dan Negara Brunei Darussalam; serta David van der Zwaag, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam.

Delegasi berkenaan telah dialu-alukan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis.

Turut hadir mewakili PPDB ialah Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Gerakan, dan Penguasa Kanan Polis Handrie bin Haji Amin, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Kunjungan hormat tersebut menjadi wadah penting bagi kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan profesional dan kerjasama strategik antara PPDB dengan AFP, khususnya dalam menangani jenayah rentas sempadan dan cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Perbincangan turut merangkumi perkembangan Memorandum Persefahaman antara PPDB dengan AFP, dengan komitmen untuk meneruskan usaha memuktamadkannya; cadangan lawatan rasmi delegasi PPDB ke Australia bagi pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam penguatkuasaan undang-undang; serta peluang kerjasama dalam latihan dan pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan kepimpinan, pembangunan profesional pegawai wanita dan penyertaan dalam Asia Region Law Enforcement Management Program (ARLEMP).

Perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan keupayaan pegawai dalam penyiasatan jenayah siber dan penanganan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian (Online Child Sexual Exploitation), dengan AFP menyatakan komitmennya untuk terus menyediakan peluang latihan kepada pegawai-pegawai PPDB pada masa hadapan.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai keutamaan kepolisan, tren jenayah rentas sempadan dan cabaran keselamatan serantau, bagi mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh diperkukuhkan melalui perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan koordinasi operasi.

PPDB menyambut baik kunjungan hormat ini sebagai cerminan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama dua hala serta keupayaan bersama menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI