MUARA, Khamis 25 Nov 2021 – Pelbagai minuman keras berjaya dirampas oleh keanggotaan Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) susulan daripada rondaan sungai yang dijalankan di kawasan Kg Pelambayan, Daerah Brunei Muara pada 25 November 2021 semalam. 

Semasa rondaan yang dijalankan di kawasan persekitaran perairan Kg Sungai Matan, keanggotaan bertugas telah menemukan sebuah perahu yang mencurigakan sedang memasuki kawasan perairan Sungai Brunei. Sejurus menyedari kehadiran Pihak Polis, perahu berkenaan memecut laju menuju ke kawasan daratan Kg Pelambayan. Perahu tersebut berjaya ditemukan tanpa sebarang pemandu mahupun penumpang di dalamnya. 

Pemeriksaan segera dijalankan dan ditemukan perahu tersebut sarat dipenuhi dengan bungkusan kotak-kotak dipercayai barangan tegahan. 

Perahu serta barang bukti dibawa ke Polis Marin bagi siasatan awal. Hasil daripada pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan kotak-kotak berkenaan berisi minuman keras yang berjumlah 1464 tin dan 20 botol dengan pelbagai jenama. 

Kesemua barang bukti diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

PPDB akan terus meningkatkan lagi rondaan dan juga pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti-aktiviti ataupun kegiatan penyeludupan dari masa ke semasa khususnya di kawasan perairan negara dalam memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan terkawal daripada sebarang pencerobohan yang berbaur jenayah. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI