MUARA, Rabu 7 Sep 2022 – Sebanyak satu ribu lima puluh (1,050) katon rokok berjaya dirampas hasil daripada rondaan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh keanggotaan Polis Marin, Jabatan Gerakan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Rondaan sungai yang dikendalikan pada 6 September 2022 itu telah mengesan sebuah perahu yang mencurigakan sedang dalam perjalanan melalui Jambatan SHOAS. Pasukan Peronda segera bertindak untuk menghampiri perahu tersebut bertujuan untuk membuat pemeriksaan. Akan tetapi, perahu suspek segera memecut dan mengubah haluan bertujuan untuk melarikan diri. 

Semasa insiden kejar mengejar berlaku, perahu suspek telah didapati memasuki kawasan Kg Sungai Bunga. Pemandu serta 2 penumpangnya didapati melarikan diri dan meninggalkan perahu mereka setiba mereka di kawasan tebing sungai berkenaan. 

Pemeriksaan kemudian dijalankan keatas perahu suspek dan telah menemukan sejumlah bungkusan kotak yang dipercayai barangan tegahan yang telah disembunyikan dibawah kain kanvas dan pukat ikan. Kesemua penemuan barang bukti termasuk perahu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk dijalankan siasatan awal dan siasatan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan dalam menangani apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan penyeludupan dari masa ke semasa khususnya di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​