KUALA BELAIT, Isnin, 22 Jun 2026 – Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah melaksanakan Latihan Simulasi Table Top Exercise (TTX) Pangkalan Marin Daerah Belait (PMDB) bertempat di Bangunan Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), Daerah Belait. Latihan tersebut dianjurkan oleh POLMAR PPDB dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri.
Majlis pembukaan rasmi telah disempurnakan oleh Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, PPDB.
Latihan ini bertujuan memberikan peluang kepada setiap agensi yang terlibat untuk membincangkan serta menyelaraskan tindakan kecemasan dan keselamatan mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing melalui pendekatan simulasi. Menerusi pendekatan ini, tahap kesiapsiagaan, pelan tindakan serta keberkesanan komunikasi antara agensi dapat diuji tanpa melibatkan sebarang risiko sebenar.


Latihan ini turut digariskan dengan beberapa objektif utama, iaitu mengesahkan keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP), menguji tahap respons terhadap situasi krisis, mengenal pasti keupayaan serta kesiapsiagaan agensi yang terlibat, serta menilai keberkesanan penyaluran maklumat dan koordinasi antara agensi.
Agensi-agensi yang terlibat dalam latihan ini terdiri daripada POLMAR PPDB, Daerah Polis Kuala Belait PPDB, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Perikanan, Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Emergency Medical Ambulance Services (EMAS), serta Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD).
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
