BELAIT, Isnin 7 Mac 2022 – Kolaborasi bersama keanggotaan detektif Daerah Polis Belait dan Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membongkar kegiatan curi dan seterusnya memberkas dua (2) orang suspek yang dipercayai mempunyai keterlibatan dengan beberapa aduan kecurian bersiri di beberapa masjid di negara ini.
Kejadian terbongkar hasil daripada siasatan dan pengesanan yang dijalankan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Kampong Labi, Daerah Belait pada baru sahaja dilaporkan pada 6 Mac 2022.
Menurut petugas masjid berkenaan, semasa kejadian berlaku beberapa barangan telah didapati hilang dipercayai dicuri seperti vakum, alat penapis air, alat pengesan suhu badan serta beberapa barangan lagi dan telah berjaya ditemui kembali hasil daripada siasatan Pihak Polis.
Kedua-dua suspek adalah lelaki, warganegara tempatan yang berumur 36 dan 51 tahun.
Di samping itu juga, kedua-dua suspek juga dipercayai terlibat dengan aduan laporan kecurian barangan masjid yang berlaku di beberapa Masjid di Daerah Tutong.
Kedua-dua suspek akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 380 (A) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa kepada hukuman penjara serta sebat.
Oleh yang demikian, PPDB juga memohon dan kerjasama pihak masyarakat untuk sentiasa membantu pasukan ataupun mana-mana agensi keselamatan di negara ini dengan mengongsikan sebarang maklumat-maklumat penting berkaitan pelanggaran undang-undang agar dapat dibendung serta dibenteras dengan sebaiknya bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman, makmur lagi sejahtera.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
