BRUNEI-MUARA, AHAD, 28 JUN 2026 – Pasukan Simpanan Polis C Kompeni (Polis Hutan), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Perlawanan Persahabatan Bola Sepak menentang Batalion 12, Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu, 27 Jun 2026. Perlawanan tersebut berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, Jalan Padang Kebajikan, Daerah Brunei-Muara.
Dalam perlawanan tersebut, Batalion 12, PGA Miri, PDRM muncul sebagai pemenang dengan keputusan 3 – 1. Pasukan Simpanan Polis C Kompeni membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, Batalion 12, PGA Miri, PDRM bangkit untuk mendahului dengan tiga jaringan bagi memastikan kemenangan.
Sebelum sepak mula, majlis pertukaran scroll pennant telah diadakan antara Penguasa Polis (SUPT.) Mazlan Bin Mohamed selaku Kapten Pasukan Batalion 12, PGA Miri, PDRM dengan Ketua Inspektor Mohamad Saifulnizam Bin Haji Sabli selaku Kapten Pasukan Simpanan Polis C Kompeni.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Hamri Aslan Bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah, Jabatan Gerakan, PPDB.




Penganjuran perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk menjadi platform tidak formal dalam memperkukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama yang sedia terjalin, di samping meningkatkan persefahaman serta kerjasama profesional dua hala antara PPDB dan PDRM.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
