BRUNEI MUARA, Sabtu, 16 Mei 2026 – Balai Polis Bandar Seri Begawan (BP BSB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Perjumpaan Suku Tahun Pertama Pengawasan Kejiranan (PK) Tahun 2026 bertempat di Dewan Theater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara.

Perjumpaan tersebut telah dipengerusikan oleh ASP Abdul Hakim Ansyari bin Abdul Rahman, Pegawai Penguasa Balai Polis Bandar Seri Begawan dan dihadiri oleh seramai 28 orang yang terdiri daripada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di bawah tadahan Balai Polis Bandar Seri Begawan.

Antara tujuan perjumpaan diadakan adalah bagi berkongsi maklumat serta pembentangan statistik jenayah melibatkan beberapa kesalahan jenayah, antaranya kes kecurian dan khianat bagi kawasan tadahan BP BSB.

Perjumpaan turut diselajurkan dengan sesi dialog dan perkongsian pandangan ke arah mempertingkatkan keberkesanan Program PK serta langkah-langkah keselamatan di mukim dan kampung.

Melalui perjumpaan ini, diharapkan akan terus mengeratkan kerjasama dan silaturahim antara PPDB bersama penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dalam usaha bersama membendung kegiatan jenayah serta menjaga kesejahteraan masyarakat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI