SINGAPURA, Khamis, 30 April 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghantar dua orang pegawai kanannya untuk menyertai Sidang Kemuncak Milipol TechX 2026 (MTX 2026) yang berlangsung di Singapura dari 28 hingga 30 April 2026. Mewakili PPDB ialah Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, dan Penguasa Kanan Polis Handrie bin Haji Amin, Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
MTX 2026 merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan para pakar keselamatan awam, penggubal dasar, dan inovator teknologi dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam menangani cabaran keselamatan semasa.

Dalam sidang kemuncak tersebut, Penguasa Kanan Polis Handrie telah dijemput menjadi panelis dalam sesi bertajuk “Melindungi Sempadan Digital: Perkongsian Global Menentang Penipuan”. Sesi panel ini membincangkan ancaman penipuan dalam talian dan penipuan kewangan yang semakin canggih dan merentas sempadan negara, serta kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menanganinya. Antara perkara yang turut dibincangkan ialah usaha memperkasakan orang awam sebagai barisan pertahanan pertama, serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan bagi mengesan dan membendung aktiviti penipuan.
Penyertaan PPDB dalam MTX 2026 mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam menjalin kerjasama antarabangsa dan mengikuti perkembangan terkini dalam bidang teknologi keselamatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
