TUTONG, AHAD, 28 Jun 2026 – Daerah Polis Tutong telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Ahli-Ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Daerah Tutong yang berlangsung di Balai Polis Lamunin, sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam membantu usaha-usaha pencegahan jenayah di peringkat komuniti.

Pengiktirafan tersebut diberikan atas dedikasi berterusan ahli-ahli PK yang telah memainkan peranan proaktif dalam menyalurkan maklumat, mengesan beberapa kesalahan jenayah serta membantu membawa kepada penahanan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang. Kejayaan sedemikian jelas membuktikan bahawa semangat keberanian, keprihatinan serta rasa tanggungjawab masyarakat merupakan elemen penting dalam memperkukuhkan keselamatan negara.

Majlis tersebut diadakan berikutan Kawad Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, iaitu salah satu aktiviti berkala bagi memperkukuhkan tahap disiplin, kesiapsiagaan serta profesionalisme warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PPDB dalam memberikan kehadiran (police presence) yang meyakinkan kepada masyarakat.

Daerah Polis Tutong dan PPDB amnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli PK atas kerjasama erat yang telah diberikan dan berharap sinergi di antara pihak polis dan masyarakat akan terus diperkukuhkan. Kerjasama strategik ini merupakan asas penting dalam merealisasikan persekitaran yang lebih selamat, aman dan sejahtera untuk dinikmati oleh seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI