BRUNEI MUARA, Isnin 14 Mac 2022 – Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu laporan kemalangan jalanraya melibatkan seorang penunggang basikal dan sebuah kereta yang berlaku di kawasan Kg Perpindahan Lambak Kanan, Daerah Brunei Muara.
Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis mendapati bahawa mangsa adalah seorang remaja lelaki berumur 15 tahun (penunggang basikal) dipercayai sedang berbasikal berseorangan dan keluar daripada persimpangan jalan secara mengejut mengakibatkan penunggang basikal tersebut dirempuh oleh sebuah kereta yang sedang datang menghala ke jalan utama.
Mangsa didapati terlantar di atas jalanraya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pihak Ambulan segera dihubungi dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh ahli paramedik bertugas.
Siasatan juga mendapati mangsa yang meninggal dunia telah menggunakan basikal tanpa dilengkapi dengan pedal brek di bahagian hadapan dan belakang. Manakala pemandu kenderaan yang merupakan seorang lelaki berumur 18 tahun didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Walau bagaimanapun, insiden kemalangan yang meragut jiwa ini masih dalam siasatan Pihak Polis.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihati sekali lagi kepada semua para pengguna jalanraya untuk sentiasa peka dan fokus kepada keadaan sekeliling ketika sedang menunggang mahupun menggunakan sebarang kenderaan di atas jalanraya. Sentiasa menggunakan peralatan keselamatan yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi bagi mengelak dari sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
