BRUNEI MUARA, Ahad 15 Mei 2022 – Kemalangan 2 buah kenderaan telah berlaku pada 14 Mei 2022 sekitar jam 2 petang dan telah meragut nyawa seorang penumpang dipercayai salah satu puncanya adalah akibat daripada rempuhan kemalangan. 

Kejadian kemalangan tersebut berlaku di kawasan lampu isyarat lalu lintas Telanai, Daerah Brunei Muara, apabila kenderaan yang dipandu dalam perjalanan daripada Jalan Katok menghala ke Jalan Telanai. Kenderaan berkenaan dipercayai ada melanggar lampu isyarat lalu lintas yang sedang bernyala merah (isyarat berhenti) mengakibatkan rempuhan ke atas kenderaan yang lain yang sedang menuju dari Jalan Beribi hala ke Jalan Jangsak. 

Siasatan awal daripada keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati pemandu dalam perjalanan ke Hospital RIPAS bagi membawa penumpang (mangsa yang maut) yang sedang dalam keadaan kecemasan iaitu mengalami serangan asma dan sesak nafas yang teruk. 

Siasatan juga mendapati mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang berumur 50 tahun dan sempat dikejarkan ke Hospital RIPAS setelah kemalangan berlaku serta diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas. 

Walau bagaimanapun, punca kemalangan dan kematian masih dalam siasatan Pihak Polis. 

PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai untuk menanamkan sifat penyabar dan sentiasa bersifat berhemah semasa memandu. Disarankan untuk tidak memandang ringan dan mengambil tindakan tergesa-gesa tanpa memperdulikan keselamatan orang lain demi kebaikan semua pengguna jalanraya. 

Yang paling utama adalah untuk sentiasa peka dengan perubahan aliran lampu isyarat lalu lintas dan patuhi peraturan di jalan raya. Bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan pemandu dan penumpang kerana ianya bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan disebabkan kealpaan dan sedikit kecuaian boleh sahaja membawa padah. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI