BENGKURONG, Isnin 29 Ogos 2022 – Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengesahkan berlakunya kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang telah meragut nyawa seorang penumpang lelaki. 

Insiden berkenaan berlaku pada 29 Ogos 2022 sekitar jam 1.44 pagi bertempat di kawasan Lampu Isyarat Bengkurong, Daerah Brunei Muara. 

Mangsa yang maut merupakan seorang penumpang lelaki, warganegara tempatan berumur 24 tahun. Siasatan awal juga mendapati semasa insiden berlaku dipercayai kenderaan yang ditumpangi mangsa cuba mengelak seekor binatang mengakibatkan kenderaan tersasar dan terbalik memasuki kawasan semak berdekatan jalanraya. 

Mangsa yang maut disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik bertugas dan kemudiannya dibawa ke Rumah Sakit RIPAS bagi siasatan lanjut. 

Di samping itu, 2 penumpang lain termasuk pemandu mendapat kecederaan ringan dan ketika ini sedang turut dirawat di rumah sakit RIPAS. 

Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan. 

Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama pengguna-pengguna jalanraya untuk tidak sekali-kali memandu dalam keadaan dipengaruhi dengan ubat-ubatan atau pengaruh alkohol atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh sahaja mengakibatkan kemalangan berlaku.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​