LIMAU MANIS, Ahad 28 Nov 2021 – Keanggotaan detektif Balai Polis Limau Manis dan Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan ke atas seorang suspek lelaki yang dipercayai memiliki senjata api buatan sendiri. 

Insiden berkenaan terbongkar apabila keanggotaan detektif sedang menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman suspek di Kg Wasan, Limau Manis kerana dipercayai mempunyai keterlibatan dengan kegiatan curi yang dilaporkan di Balai Polis Sengkurong. Justeru, telah menemukan satu peralatan yang mencurigakan dipercayai menyerupai senjata api. 

Suspek yang ditahan adalah seorang lelaki, warganegara tempatan berumur 32 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. 

Berikutan dengan penemuan itu, suspek turut berdepan dengan kesalahan di bawah seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58 yang mana jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara dalam suatu tempoh tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta tidak kurang dari 3 sebatan dan tidak lebih dari 12 sebatan. 

Di kesempatan ini, PPDB menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar tidak mempunyai hasrat untuk memiliki, menyimpan atau membuat sebarang senjata api dan butiran peluru atau menyerupai sepertinya kerana ianya adalah merupakan suatu kesalahan yang berat di bawah undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI