MUARA, Selasa 1 Feb 2022 – Sejumlah bungkusan kotak yang mencurigakan dipercayai barang-barang tegahan ditemukan tersimpan di dalam sebuah kenderaan di kawasan perumahan Kg Bukit Sibanging, Daerah Brunei dan Muara. 

Kenderaan yang diletakkan di kawasan bahu jalanraya berdekatan kawasan perumahan tersebut telah dijalankan pemeriksaan mengejut oleh keanggotaan pegawai penyiasat daripada Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 31 Januari 2022. 

Hasil daripada siasatan awal, berikutan daripada penemuan 13 bungkusan kotak yang mencurigakan itu telah mendapati sebanyak 160 botol minuman keras pelbagai jenama, 10 unit dan 130 paket peralatan dipercayai digunakan bagi penggunaan rokok elektronik.. 

Keanggotaan daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) turut dihubungi dan hadir ke tempat kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan seterusnya mengambil alih penyiasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI