BELAIT, Sabtu 23 Julai 2022 – Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan berhubung seorang lelaki warganegara tempatan berumur 39 tahun di dalam pencarian dipercayai hilang. 

Laporan berkenaan dibuat pada 21 Julai 2022 dan dipercayai ada berada di kawasan Bukit Nanas Andulau, Sungai Liang berdasarkan jejak penemuan kenderaan mangsa yang ada diletakkan di kawasan tersebut. 

Siasatan kemudian dijalankan, bilik gerakan pencarian dan Pos Kawalan Insiden (ICP) menempatkan agensi-agensi terlibat seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Paramedik dan Pasukan Simpanan Gurkha (GRU K9) telah dibuka bagi tujuan bantuan koordinasi pencarian. 

Terkini, seorang individu telah ada ditemui di sekitar 2.2 km daripada penempatan pos kawalan insiden (ICP) dalam keadaan tidak sedarkan diri. Individu berkenaan kemudiannya dibawa keluar daripada tempat penemuan dan dihantar ke Rumah Sakit RIPAS bagi pemeriksaan, pengesahan dan juga siasatan lanjut. 

Hasil daripada siasatan pihak polis mengesahkan penemuan individu berkenaan adalah merupakan mangsa yang sedang dalam pencarian dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Dalam pada itu, punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak polis. 

Susulan dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat telahpun ditamatkan, manakala bilik gerakan dan ICP telahpun ditutup dan diberhentikan pada hari ini. 

PPDB juga ingin menyarankan kepada orang ramai untuk memaklumkan kepada ahli keluarga jika ingin keluar beriadah, aktiviti luar atau mendaki bukit berseorangan atau secara berkumpulan. 

Sentiasa memastikan tubuh badan dalam keadaan sihat, membawa bersama peralatan-peralatan penting seperti alat perhubungan, makanan dan minuman yang mencukupi bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku atau dalam keadaan kecemasan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI