JUMAAT, 17HB JULAI 2026 – Berikutan maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai kegiatan pencerobohan dan pencurian kayu gaharu secara haram di kawasan hutan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah berjaya menahan dua orang warga asing dalam satu operasi khas di kawasan Kampung Sebatang Sentul, Daerah Tutong.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis bagi siasatan lanjut, selain mengenal pasti penglibatan dalam kes-kes lain yang berkaitan, termasuk berkemungkinan wujudnya rangkaian atau sindiket yang menjalankan aktiviti pencerobohan hutan mahupun eksploitasi sumber hutan secara haram. Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh didakwa atas kesalahan pemilikan hasil hutan secara haram, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 27(1), Akta Perhutanan (Penggal 46), yang membawa hukuman denda dan penjara selama lima tahun.

PPDB amatlah memandang serius sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya yang melibatkan penerokaan, pencurian dan pencerobohan hutan secara haram. Aktiviti sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekosistem dan menjejaskan biodiversiti serta mengancam kelestarian khazanah alam semula jadi negara.

Sehubungan itu, PPDB akan terus mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan, khususnya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan. PPDB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan keprihatinan dalam menyalurkan maklumat yang membawa kepada kejayaan operasi ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat adalah diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan hutan, pencurian kayu gaharu atau aktiviti jenayah lain kepada PPDB. Setiap maklumat yang diterima akan diberi perhatian dan dikendalikan dengan penuh kerahsiaan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI