LAMUNIN, Sabtu 2 Julai 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku dan meragut nyawa seorang lelaki warganegara tempatan berusia 46 tahun.
Balai Polis Lamunin, PPDB telah menerima panggilan kecemasan tersebut ditalian 993 pada 1 Julai 2022 sekitar jam 4.04 petang memaklumkan mengenai satu kemalangan berlaku di kawasan Jalan Tasek Merimbun, Lamunin Daerah Tutong.
Sejurus maklumat diterima pihak polis segera ke tempat kejadian bagi pengesahan siasatan dan mendapati insiden berkenaan melibatkan kemalangan sendiri dan seorang mangsa telah didapati dalam keadaan cedera dan dikejarkan ke Rumah Sakit Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong bagi rawatan segera.
Siasatan kemudian dijalankan ke rumah sakit berkenaan dan doktor bertugas telah mengesahkan bahawa mangsa yang terlibat dengan kemalangan telah meninggal dunia.
Siasatan masih lagi dijalankan oleh pihak polis bagi mengetahui punca kemalangan. Oleh yang demikian, dipohonkan kepada sebarang orang ramai dan saksi mata yang ada menyaksikan insiden kemalangan tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis ataupun menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan.
Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di Jalan Raya.
Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan dalam keadaan dipengaruhi dengan bahan ubat-ubatan atau pengaruh alkohol atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh mengakibatkan kemalangan berlaku.
Pemandu dan penumpang hendaklah sentiasa memakai tali pinggang keselamatan kerana ianya boleh mengelakkan daripada risiko kecederaan impak daripada sesuatu kemalangan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
